Susu ibu dianugerahkan kepada setiap ibu yang melahirkan bayi. Kandungan susu ibu cukup sempurna, sehinggakan tiada yang dapat menandinginya.
Susuilah bayi dengan susu ibu, supaya si kecil dapat membesar dengan sempurna.
1.1 Penyusuan susu ibu secara eksklusif
Penyusuan susu ibu perlu diberikan secara eksklusif, kerana bayi akan memperoleh kebaikan yang banyak, jika dia disusui secara eksklusiaf.
Tahukah anda,
apa itu penyusuan eksklusif?
Penyusuan susu ibu secara eksklusif bermaksud, bayi hanya diberikan susu ibu dalam masa enam bulan pertama selepas kelahirannya. Tiada makanan atau minuman lain diberikan pada bayi dalam tempoh tersebut. Makanan pelengkap hanya dimulakan setelah bayi berumur enam bulan dan ke atas. Penyusuan hendaklah diteruskan sehingga bayi berumur dua tahun.
Untuk membolehkan penyusuan secara eksklusif selama 6 bulan dicapai, ibu hendaklah mengamalkan perkara-perkara seperti yang berikut :
i) Penyusuan susu ibu perlu dimulakan dalam masa satu jam pertama selepas kelahiran bayi.
ii) Penyusuan eksklusif, iaitu bayi hanya diberikan susu ibu tanpa sebarang makan atau minuman walaupun air masak.
iii) Ibu perlu menyusu mengikut kehendak bayi iaitu kekerapan menyusu adalah bergantung pada permintaan bayi.
iv) Tidak memberikan sebarang botol atau puting tiruan kepada bayi dalam tempoh enam bulan pertama.
v) Semua jenis cecair tidak digalakkan diberikan kepada bayi kecuali ubat-ubatan atau rawatan yang diperlukan oleh bayi tersebut
1.2 Ketinggian nilai khasiat susu ibu
Setiap makhluk tuhan yang bergelar mamalia dikurniakan susu untuk membesarkan bayi masing-masing, mengikut keperluan perkembangannya. Haiwan seperti gajah, kucing, lembu dan kuda menghasilkan susu yang sesuai untuk keperluan bayi sejurus selepas dilahirkan agar dapat berjalan. Kandungan mineral yang tinggi yang terdapat dalam susu awal sesuai untuk pertumbuhan tulang yang kuat. Oleh itu kandungan protein, lemak, karbohidrat, mineral dan air adalah unik dan amat diperlukan oleh setiap mamalia
Manakala susu ibu pula bersesuaian untuk bayi yang memerlukan perkembangan otak yang optimum. Bayi yang dilahirkan sebagai insan yang tidak berdaya, memerlukan perhatian rapi ibunya untuk jangka masa yang panjang sebelum dia dapat berjalan. Susu ibu berubah mengikut perkembangan dan keperluan bayi. Kandungan susu ibu tidak akan dapat ditiru sepenuhnya oleh kecanggihan teknologi moden dalam makmal atau kilang.
Penyusuan susu ibu memberikan seribu kebaikan kepada bayi dan ibu. Kesan baik ini bukan hanya dirasai ketika bayi masih kecil, namun ianya berkekalan di sepanjang hayatnya. Kebaikan ini meliputi kesan terhadap perkembangan fizikal, mental, emosi, dan juga pembentukan peribadi seorang anak. Fakta ini bertepatan dengan
kajian yang dilakukan oleh sebuah universiti di Amerika Syarikat, yang menunjukkan bahawa penyusuan susu ibu memberikan faedah yang banyak kepada ibu dan bayi sama ada dari segi fizikal mahupun psikologi. Penyusuan juga merupakan langkah yang praktikal bagi keluarga, kerajaan dan masyarakat untuk menjimatkan wang.
1.3 Susu Ibu melindungi bayi
Setiap bayi yang dilahirkan ke dunia ini tidak berupaya melindungi dirinya daripada sebarang penyakit. Sistem pertahanan badan bayi yang masih belum matang tidak mampu untuk melawan penyakit . Susu ibu mengandungi beberapa faktor anti infeksi yang akan membantu menghindarkan bayi daripada pelbagai jenis jangkitan kuman, antaranya termasuklah seperti yang berikut:
i) Laktoferin yang bergabung dengan zat besi (iron) bertujuan mencegah perebakan bakteria usus
ii) Immunoglobulin (IgA) dan sel darah putih yang bertindak melawan kuman dalam badan. Kandungannya tinggi di dalam kolostrum. Kolostrum merupakan vaksin pertama yang perlu diberikan kepada bayi untuk melawan bakteria dan virus.
iii) Protein, vitamin A dan E yang berfungsi untuk melindungi bayi daripada jangkitan kuman dan penyakit mata.
iv) ‘Bile salt stimulated lipase’ yang berfungsi untuk melindungi bayi daripada jangkitan ameba
v) Faktor bifidus yang berfungsi untuk membantu bakteria khas, iaitu laktobasilus untuk membiak di dalam usus bayi. Dengan adanya bakteria baik ini, bakteria tidak baik (patogenik) akan dihapuskan dan hal ini dapat menghindarkan bayi daripada mendapat penyakit.
vi) Limfosit-limfosit dan makrofaj yang membantu melawan kuman yang masuk ke dalam badan bayi
vii) Agen anti keradangan yang melindungi bayi daripada mendapat kesan keradangan yang teruk.
viii) Antibodi ibu boleh diberikan kepada bayi melalui penyusuan susu ibu. Kajian yang dijalankan oleh Pusat Kawalan & Pencegahan Penyakit, Amerika Syarikat mendapati, bayi yang menyusu dengan susu ibu akan menerima antibodi daripada ibunya yang akan melindungi bayi tersebut daripada jangkitan kuman.
ix) Faktor pembesaran seperti Selenium, karotenoid asli dan nukleotida boleh membantu perkembangan dan kematangan sistem imun bayi (sistem pertahanan badan). Kematangan sistem imun penting, supaya badan bayi berupaya untuk melawan kuman yang menjangkitinya.
Selain melindungi daripada jangkitan kuman, penyusuan susu ibu secara eksklusif, boleh mengurangkan risiko penyakit alahan seperti lelah (asma) dan radang kulit (ekzema). Risiko penyakit kencing manis atau diabetes melitus semasa remaja dan kegemukan juga akan berkurangan pada bayi yang diberikan susu ibu. Bahan laktosa yang terdapat dalam susu ibu boleh membantu mencegah penyakit riket .
Bayi yang menghisap susu ibunya jarang-jarang mengalami gejala seperti cirit-birit, jangkitan salur usus dan jangkitan salur pernafasan berbanding dengan bayi yang diberikan susu formula. Kajian yang dijalankan oleh Pusat Pencegahan Malnutrisi Kanak-Kanak di Brazil, menunjukkan bahawa penyusuan susu ibu dapat mengelakkan kematian dan kemudaratan akibat cirit-birit pada bayi. Bayi yang tidak diberikan susu ibu mempunyai 25 kali ganda risiko kematian akibat cirit-birit berbanding dengan bayi yang menyusu susu ibu secara eksklusif .
Walaupun banyak produk susu formula di pasaran yang menawarkan perlindungan bayi terhadap jangkitan, namun ianya masih belum dapat menandingi kandungan khasiat yang terdapat dalam susu ibu.
Wednesday, June 9, 2010
Subscribe to:
Posts (Atom)